1981-1988 : Permulaan & Tahun Terawal Search

Kumpulan Search telah ditubuhkan pada tahun 1981 di Johor Bahru, Johor. Pada asalnya, kugiran ini dianggotai oleh Zainal (vokal), Hillary Ang (gitar utama), Yazit Ahmad (dram) dan seorang pemain bass yang berasal dari Indonesia iaitu Memek. Mereka telah ditawarkan kontrak oleh kelab Red Rooster di Kuala Lumpur untuk membuat persembahan pada setiap malam. Namun belum sempat kugiran ini memulakan persembahan di kelab tersebut, Zainal dan Memek telah meninggalkan kugiran ini akibat tiada persefahaman di antara mereka. Hal ini telah menyebabkan pihak pengurusan Red Rooster memberi kata dua kepada anggota yang tinggal Hillary dan Yazit sama ada mereka berdua perlu mencari penyanyi baharu untuk meneruskan kontrak atau meninggalkan Red Rooster. Maka dengan itu, Hillary dan Yazit kembali semula ke Johor Bahru untuk mengajak Suhaimi Abdul Rahman atau Amy yang sudah dikenali mereka ketika bermain muzik di majlis-majlis keramaian sebelum ini. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana Amy baru sahaja mendapat kerja di Yamaha, dua hari sebelumnya biarpun Amy memang berminat untuk menjadi seorang penyanyi. Setelah beberapa kali dipujuk, akhirnya Amy bersetuju untuk menyertai mereka ke Kuala Lumpur untuk memenuhi kontrak persembahan di kelab Red Rooster. Melalui adik angkat Yazit, Nasir Daud akhirnya diserap sebagai pemain bass walaupun Yazit sebenarnya telah mengenali Nasir ketika bermain muzik di kelab Machinta sebelum ini. Lengkap sahaja empat orang anggota, mereka terus memeterai kontrak bersama kelab Red Rooster untuk mengadakan persembahan di sana.

Setelah lebih kurang setahun Search membuat persembahan di kelab tersebut, Yazit bertemu kembali dengan Nordin Mohd Taib atau Din, rakan sekelasnya ketika bersekolah di Larkin dahulu. Pertemuan ini telah membawa kepada pertambahan anggota di mana Din telah dibawa masuk sebagai gitaris kedua atau irama untuk kugiran tersebut. Tidak lama kemudian, mereka telah dipertemukan dengan M. Nasir yang kebetulan datang untuk menyaksikan persembahan mereka. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Search tidak menunggu lama untuk menjadikan M. Nasir sebagai penerbit album pertama, seterusnya menandatangani kontrak rakaman dengan Polygram Records, sebuah syarikat rakaman yang berpangkalan di Singapura.

Bersama Polygram, Search telah menghasilkan tiga album studio terawal mereka, iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985),[1] Langit dan Bumi (1986),[2] dan Mentari Merah di Ufuk Timur[3] yang mana telah dirakamkan di Lion's Studio, Singapura. Dengan album-album ini, mereka cepat mendapat perhatian peminat muzik Malaysia. Album studio pertama Search, Cinta Buatan Malaysia dibantu oleh Yan dan Man Kidal dari kugiran Lefthanded sebagai pemuzik undangan setelah Hillary dan Nasir meninggalkan kugiran tersebut buat sementara waktu. Mereka berdua hanya terlibat dengan sesi rakaman album studio kedua dan ketiga Search selepas itu.

Persembahan secara langsung mereka sebagai sebuah kugiran terkenal adalah sebagai artis jemputan di Konsert Battle Of The Bands di Dataran Keris, Alor Gajah Melaka pada 2 Februari 1986, diikuti konsert pertama mereka sendiri iaitu Konsert Terbuka Search di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada tahun yang sama.[4]

Kumpulan Search juga ditampilkan sebagai bahan penceritaan dalam filem dokumentari Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang ditayangkan pada 23 Februari 1986.[5] Anugerah utama sulung mereka sebagai kugiran ialah anugerah Penyanyi Berkumpulan Popular di Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular Berita Harian pada tahun 1987, sehinggalah gelaran tersebut dirampas oleh kumpulan Iklim pada tahun 1990 dek kejayaan menerusi lagu Suci Dalam Debu.

Album Cinta Buatan Malaysia, Langit dan Bumi, dan Mentari Merah di Ufuk Timur, masing-masing terjual lebih 20,000, 30,000 dan 50,000 unit, membolehkan syarikat rakaman mereka memperoleh Anugerah Emas untuk dua album pertama dan Anugerah Platinum untuk album ketiga itu. Walau bagaimanapun, Polygram Records tidak menyerahkan anugerah-anugerah tersebut kepada Search sebaik sahaja mereka tamat kontrak mereka pada tahun 1987.[4] Walaupun Search sudah meninggalkan Polygram, Polygram sempat menerbitkan dua lagi 'album studio' (sebenarnya album himpunan) dengan nama Search, iaitu Di Pintu Sepi dan Berpaling yang memuatkan lagu lama dan lagu baru yang dirakam oleh mereka ketika sesi pembikinan album Mentari Merah itu, di samping dua jilid album himpunan Koleksi Terbaik, semuanya pada tahun 1988. Ini telah menyebabkan Search mengambil keputusan untuk membawa isu ini ke mahkamah dan mereka telah menang dalam kes tersebut biarpun ia memakan masa yang begitu lama untuk diselesaikan.

Sepanjang tahun 1988, mereka mengadakan lima buah konsert di Malaysia, setiap satunya bersama sebuah lagi kugiran, iaitu Gersang (Kota Bharu, 5 April; Kuala Lumpur, 9 April); dan Mega (Johor Bahru, 7 dan 8 Oktober; Kluang, 10 Oktober; Stadium Negara Kuala Lumpur, 3 Disember)[6], diikuti persembahan pertama mereka di luar negara bersama dua kugiran Thailand di Bangkok, di ambang tahun baru 1989.[4]

Rujukan

WikiPedia: Search http://www.budiey.com/gambar-search-di-sidang-medi... http://news.google.com/newspapers?id=-ZcWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=5NwxAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=GRAWAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=LLYTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=RbsTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=SboTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=kFAeAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=m7gTAAAAIBAJ&... http://news.google.com/newspapers?id=peYVAAAAIBAJ&...